Wednesday 3 April 2013

Gangguan Makhluk Halus

Sebentar tadi antara maghrib hingga isyak, jiran saya telah mengadakan majlis untuk menghalau makhluk halus yang menganggu penyewa rumahnya. Majlis dijalankan oleh ahli-ahli Darul Syifa' Bangi. Ketika saya sampai solat maghrib baru sahaja selesai.

Majlis dimulai dengan solat hajat, diikuti dengan bacaan Yasin dan zikir ruqyah. Setelah selesai zikir kami solat isyak berjemaah. Seterusnya ustaz daripada Darul Syifa' menerangkan bagaimana untuk melakukan rejam menggunakan garam dan lada hitam yang telah dibacakan Yasin dan ayat-ayat ruqyah tadi. Garam dan lada hitam digunakan untuk merejam sekeliling kawasan luar rumah semasa azan maghrib. Semasa merejam dibaca ayat Kursi terus menerus hingga selesai merejam. Kawasan sekeliling dalam rumah pula kecuali tandas direnjis dengan air yang juga telah dibacakan Yasin dan ayat ruqyah. Masa merenjis dibaca ayat kursi terus menerus hingga selesai merenjis. Merejam dan merenjis mesti dilakukan tiga hari berturut-turut. Ahli-ahli Darul Syifa' membantu untuk merejam dan merenjis untuk malam ini walaupun waktu maghrib sudah lama habis.

Saya berdiri sambil bersembang dengan jiran-jiran lain yang turut hadir. Kadang-kadang saya menoleh untuk melihat ahli-ahli Darul Syifa' melakukan rejam dan renjis. Salah seorang jiran saya mengikuti pengajian perubatan di Darul Syifa'. Saya megambil peluang bertanya tentang masalah ghout saya. Dia menyarankan agar saya meminum air daripada tiga batang saleri yang telah dikisar (hampas dibuang) selama 2 minggu. Tujuannya ialah untuk menurunkan kolestrol. InsyaAllah ghout boleh baik setelah paras kolestrol turun ke tahap normal. Selain itu berat badan harus turun mengikut bacaan BMI yang sepatutnya. InsyaAllah saya akan cuba kedua-duanya. Saya juga bertanya tentang bayi saya yang kerap menangis tengah malam sejak kebelakangan ini. Dia menyuruh saya membaca 3 Qul, meniup ke tapak tangan saya dan  seterusnya menyapu ke badan anak kecil saya. InsyaAllah anak kecil tak menangis kecuali menangis lapar nak susu.Yang tu tak leh buat apa - kena bagi susulah!

Setelah semuanya selesai kami dijamu oleh tuan rumah. Habis makan saya pulang berjalan ke rumah saya yang hanya selang sebuah rumah.


Tuesday 2 April 2013

Trip pertama bulan April

Alhamdulillah, semalam bot Berkat 3 mendaratkan 20 tan ikan tongkol untuk trip pertama bulan April 2013.

Ikan dalam petak ikan bot Berkat 3

Menaikkan ikan ke jeti


Ikan ditimbang untuk dimasukkan ke dalam tong 

Ais dimasukkan ke dalam tong-tong ikan sebelum dihantar ke pemborong